Sambal Terung
oleh Kak Wan
Sumber : CMG@Dapur Tanpa Sempadan
Bahan-bahan :
1 biji terung ungu saiz besar @ 2 biji terung bersaiz sederhana
2 helai daun limau purut
5 biji cili merah (kalau tak suka pedas, boleh buang biji)
1 camca teh pes asam jawa
1 camca besar udang kering, cuci dan rendam 10 minit dan toskan
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras, hiris
Secubit belacan, dibakar
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit daun ketumbar, untuk hiasan
Penyediaan :
1. Terung dicuci, kemudian lap kering. Potong pada 4 bahagian, kemudian belah 4 untuk setiap potongan. Gaul dengan sedikit garam. Panaskan kuali, masukkan 3 camca besar minyak masak atau minyak zaitun, biar panas. Masukkan terung, kacau dan biar hingga terung layu dan lembut. Angkat dan toskan atas kertas tissue dapur.
2. Sambal : Kisar buah keras dan bawang putih hingga halus, masukkan udang kering dan belacan, kisar sekejap. Tambah bawang merah dan cili merah. Kisar jangan terlalu halus, guna butang pulse. Teksture cili dan bawang harus sedikit kasar (boleh juga tumbuk guna lesung batu).
3. Panaskan minyak dan tumis bahan2 kisar tadi hingga harum, masukkan pes asam jawa, daun limau purut, sedikit gula dan garam secukup rasa. Masak dengan api kecil sambil dikacau selalu hingga sambal pekat.
4. Susun terung yang telah digoreng tadi dalam bekas sesuai. Sudukan secukupnya sambal atas terung, ratakan dan hias dengan daun ketumbar. Hidangkan segera bersama nasi panas.
Sambal Terung