Penganjur Konsert Intifada Rabbani iaitu Universe Gateway memberi jaminan bahawa kesilapan yang berlaku pada Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza yang berlangsung pada tahun lalu tidak akan berulang lagi.
Artikel Berkaitan: Lagu Intifada Cipta Fenomena, Rabbani Percaya Itu Rezeki Daripada Allah – ‘Bila Buat Sesuatu Kena Pastikan Kualiti’
Penambahbaikan

Timbalan Pengerusi Universe Gateway, Zambri Mohd Isa, berkata, pihaknya sudah menyediakan satu prosedur serta sistem yang teratur supaya konsert berkenaan berjalan lancar.
Pihak kita ambil maklum tentang kegusaran peminat rentetan isu penganjuran konsert sebelum ini. Namun ingin saya maklumlan isu tersebut sudah pun selesai.
Insya-Allah untuk konsert Rabbani ini kami akan lakukan penambahbaikan. Kami tidak janji akan seratus sempurna namun kami akan berusaha memanimakan kesalahan.
Rabbani sudah sedia maklum tentang isu sebelum ini, kami sudah beri satu SOP yang jelas kepada mereka. Kali ini tempat tertutup dan harap masalah dapat diatasi.
Zambri berkata demikian yang ditemui di sidang media Konsert Intifada Rabbani di Ruema Cafe & Event, pada Isnin.
Dalam pada itu, Zambri memberitahu pihaknya sudah menyelesaikan krisis yang berlaku selepas dihubungi pihak yang menjadi mangsa.
Ada beberapa pihak yang sudah menghubungi kami berhubung isu tersebut, kami juga sudah memulangkan sejumlah wang kepada mereka yang membuat aduan sebagai ganti rugi.
Pihak kami juga tak pernah melarikan diri dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Zambri berharap dengan penambahbaikan yang dibuat dapat meraih semula kerpercayaan orang ramai serta memulihkan semula kredibiti syarikat.
Ada hitam putih

Sementara itu, anggota kumpulan Rabbani iaitu Azadan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjur yang didakwa bermasalah demi menjaga nama baik mereka.
Pihak kami sedia maklum tentang masalah yang terpalit dengan syarikat ini, namun kami tidak mahu fikir perkara yang sudah lepas.
Demi menjaga nama baik dan tidak mahu berdepan perkara berbangkit pada masa akan datang, kami meletakan syarat kepada penganjur. Antaranya, mempunyai perancangan lain atau plan B sekiranya tiket konsert tidak terjual.
Saya percaya untuk memastikan konsert ini berjalan lancar, perlu ada sistem yang teratur dan bersepadu.
Terdahulu, kontroversi membabitkan Universe Gateway tercetus apabila Konsert Journey Of Sound: Judika & Siti Nurhaliza mendapat maklum balas kurang memuaskan daripada pengunjung yang hadir.
Antara isu yang dibangkitkan adalah masalah tempat duduk yang tidak sistematik sehingga menimbulkan kekecohan. Lebih parah ada pembeli tiket kategori VIP terpaksa duduk di zon yang lebih murah disebabkan kecuaian penganjur.
Dalam perkembangan lain, Konsert Intifada Rabbani bakal diadakan pada 20 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Tiket akan mula dijual pada 31 Julai ini di platform Ticket2u dan Fantopia.io
The post Universe Gateway Tidak Akan Ulang Kesilapan Sama Di Konsert Intifada Rabbani – ‘Kami Tak Pernah Melarikan Diri’ first appeared on OHBULAN!.