Kumpulan muzik popular Indonesia, Ungu, bakal mengadakan konsert istimewa sempena ulang tahun ke-29 penubuhan mereka menerusi Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu yang dijadual berlangsung pada 12 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ungu bersama pemuzik orkestra
Menerusi sidang media secara virtual, vokalis Ungu iaitu Pasha atau nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 45, memberitahu bahawa konsert kali ini lebih istimewa kerana bakal menyaksikan Ungu tampil buat pertama kalinya bersama pemuzik orkestra sejak ditubuhkan pada 1996.
Selepas hampir tiga dekad, ini kali pertama Ungu mengadakan konsert berkolaborasi dengan orkestra. Di Jakarta pun tidak pernah, Malaysia merupakan negara pertama.
Tambah Pasha lagi, kolaborasi bersama pemuzik orkestra yang dipimpin oleh JP Denny ini juga akan memberikan dimensi baharu dalam persembahan mereka.
Kami yakin, InsyaAllah konsert kali ini akan lebih menarik dengan menampilkan persembahan yang berbeza daripada sebelum ini.
Ini merupakan cabaran kepada Ungu dan kami juga berusaha agar penampilan kami mampu memberi kesan kepada pencinta muzik di Malaysia.
Kami ingin buktikan bahawa Ungu sentiasa memberi kelainan dan inovasi dalam persembahan.
Lebih menarik, Malaysia menjadi negara pertama yang menyaksikan kolaborasi eksklusif ini dimana ianya sesuatu yang belum pernah dilakukan sejak Ungu ditubuhkan pada 1996 termasuk di tanah air mereka sendiri, Indonesia.
Berkongsi rasa teruja untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia, Ungu menyifatkan negara ini sebagai ‘kampung halaman kedua’ buat mereka.
Rasanya seperti balik rumah sendiri.
Sejujurnya, Malaysia sudah kami anggap sebagai kampung halaman kedua. Hampir setiap konsert kami di sini sentiasa memberikan kesan yang luar biasa.
Dalam pada itu, Pasha memberitahu Ungu akan memberi fokus sepenuhnya kepada Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu dan berharap dapat memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh semua peminat di Malaysia.
Menurut wakil penganjur Apex Venture Global Sdn Bhd iaitu Amin Aizuddin percaya akan kemampuan Ungu untuk menjayakan konsert ini.
Kami sebagai penganjur percaya konsert ini mampu mencapai target kerana Ungu merupakan sebuah Kumpulan yang mempunyai sokongan daripada peminat mereka yang tersendiri apatah lagi mereka sudah hampir usia tiga dekad dalam industry muzik Malaysia dan Indonesia.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM288 hingga RM1588.