Tiga penghibur wanita handalan iaitu Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu mengumumkan kolaborasi sulung mereka menerusi showcase eksklusif yang akan berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun 2025.
Gabungan tiga penyanyi
Showcase yang bertemakan ‘An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah’ itu bukan sahaja menyaksikan mereka menyampaikan lagu hits secara solo, malahan bersatu vokal secara harmoni untuk dua malam berturut-turut.
Pengarah Kreatif & Perhubungan Media showcase iaitu Slen Fadzil berkata, idea kolaborasi tiga suara dari Johor, Kelantan dan Sabah itu tercetus daripada Alyah yang inginkan sebuah gandingan padu di kalangan sahabat baiknya.
Sebagaimana yang kita tahu Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob masing-masing dicungkil bakat mereka daripada tiga pertandingan nyanyian popular iaitu Bintang HMI, One In A Million & Akademi Fantasia Megastar.
Masing-masing ternyata miliki kehebatan vokal tersendiri dan secara kebetulan, mereka menggemari genre-genre lagu yang sama khususnya balada dan pop komersial.
Jadi memang sesuailah mereka digabungkan untuk memberikan kepuasan berganda kepada penonton kelak.
Pada kedua-kedua malam itu kita akan dihiburkan dengan lagu-lagu hits mereka sendiri selain melodi evergreen hingga terkini daripada artis tempatan dan antarabangsa.
Pesona elegan
Tambah Slen, pihaknya juga tidak sabar selain teruja menantikan berlangsungnya showcase tersebut.
Kami amat terharu dan berbangga kerana showcase ini mendapat kerjasama terbaik daripada Park Inn by Radisson Putrajaya.
Ia menjaminkan keselesaan dari segi tontonan dan lebih menarik, penonton akan disajikan hidangan koktel sebelum persembahan bermula.
Bukan itu sahaja, peminat yang datang dari luar Lembah Klang juga boleh menginap dengan selesa di hotel ini dengan pakej-pakej berbaloi.
Showcase bertemakan ‘Pesona Elegan’ itu dianjurkan oleh Like Music Entertainment dengan kerjasama Park Inn by Radisson Putrajaya.
Tiket showcase ‘An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah’ berharga RM350 (termasuk Meet & Greet, Cenderahati & Hidangan Koktel) serta RM250 (termasuk Hidangan Koktel).
Tiket-tiket boleh ditempah bermula 24 April 2025 dengan menghubungi talian Whatsapp 6010-211 4687.