Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan persediaan awal sudah dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gempa bumi di kawasannya, meskipun ketika ini berdepan kekangan pusat perlindungan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hariz Hamdan Berdepan Detik Cemas, Rasai Gegaran Gempa Bumi Di Thailand – ‘Saya Fikir Pening, Rupanya…’
Risiko gempa di Muar

Langkah itu diambil susulan gegaran kecil yang melanda Segamat baru-baru ini, sekali gus menimbulkan keresahan penduduk di beberapa kawasan berhampiran termasuk Muar.
Buat masa ini, bawah Parlimen Muar belum ada pusat perlindungan khusus. Jika ada keperluan, tindakan segera akan diambil dan saya sendiri akan turun padang untuk memantau.
Saddiq berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis perasmian restoran Supamala Hotpot di Bangsar Shopping Centre, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saddiq turut menegaskan pemantauan berterusan sentiasa dijalankan dan bantuan akan digerakkan secepat mungkin jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar sudah biasa berdepan pelbagai bencana. Gempa bumi setakat ini belum, tetapi mesyuarat persediaan sentiasa dibuat.
Saya yakin pihak jabatan daerah juga sudah bersiap siaga. Jika ada masalah, intervensi akan segera dilakukan.
Saddiq juga mengakui gegaran yang berlaku agak membimbangkan kerana sudah beberapa kali berlaku dalam tempoh singkat, namun menegaskan pemantauan bersama pihak berkaitan terus dijalankan.
Dalam masa sama, Saddiq juga yakin kerajaan negeri Johor mempunyai pelan persediaan yang kukuh sekiranya risiko bencana semakin meningkat.
Orang ramai turut diingatkan supaya merujuk sumber rasmi, khususnya Jabatan Meteorologi Malaysia, bagi mengelakkan kekeliruan maklumat.
Persediaan itu sangat penting, tapi ia mesti berlandaskan maklumat daripada pakar dan sumber sahih. Kita elakkan bertindak melulu supaya setiap langkah yang diambil lebih tepat dan selamat.
Sebelum ini, Segamat merekodkan tiga siri gegaran pada minggu lalu, manakala Mersing serta Muar dikategorikan berisiko gempa bumi lemah kerana kedudukannya di atas garisan Sesar Mersing.
Kedua-dua daerah itu pernah merekodkan kejadian gempa bumi pada tahun 1922.
The post Syed Saddiq Siap Sedia Hadapi Risiko Gempa Bumi Di Muar first appeared on OHBULAN!.