Menjadi peserta paling berusia, penyanyi Syafeek Ikhwan mengakui perkara itu bukan penghalang untuknya bersaing dengan 17 peserta lain yang rata-ratanya lebih muda dalam program Big Stage Alpha.
Blend dengan Gen-Z
Syafeek, 37, berkata, dia tidak akan mengsia-siakan peluang yang sudah terhidang dan akan berjuang sehabis baik dalam program tersebut.
Nak diikutkan memang rasa agak lewat kalau difikirkan dari segi usia. Tetapi saya pun memulakan kerjaya dalam nyanyian hanya selepas saya pulang ke Malaysia sejurus menamatkan pengajian.
Kemudian saya mula bekerja dan barulah saya fokus pada menyanyi pula. Fasa dan tempoh masa setiap penyanyi itu berbeza-beza. Mungkin sudah tertulis takdir saya (menyanyi) lambat sikit berbanding orang lain.
Saya pun ada ramai kawan yang lebih muda (Gen-Z) dan kerap bergaul dengan mereka. Insya-Allah okay dan dalam Big Stage Alpha ini, saya mahu bawa diri sebagai seorang yang lebih fleksibel.
Jadi saya terbuka untuk berkawan dengan mereka yang matang atau masih muda. Tapi setakat ini, mereka okay saja. Malah bila pertama kali berjumpa peserta lain pun, ada yang percaya bila tahu usia sebenar saya.
Syafeek berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Big Stage Alpha yang diadakan di Petaling Jaya, pada Khamis.
Harapan gelar juara
Meskipun pernah menjadi juara dan mengharumkan nama negara menerusi pertandingan i-Sing World di Paris, Perancis pada 2018, namun kata Syafeek, itu bukan tiket untuknya memandang enteng dengan peserta lain.
Tiada apa yang perlu dibanggakan atau dimalukan sebab ini adalah proses perjalanan bagi seseorang penyanyi itu.
Lagi satu, saya juga sedar diri sebab kalau saya tidak sertai pertandingan yang besar seperti ini, siapa lagi yang akan mengenali saya?
Saya berharap mampu mara ke final dan kemudian jadi juara. Saya rasa peserta lain pun sama juga harapannya.
Cuma, apa yang membezakan di antara satu sama lain ialah kesungguhan dan apa yang kita boleh persembahkan atas pentas nanti.