Ketika sibuk menjayakan penggambaran filem Magik Rompak, pelakon Sharnaaz Ahmad berdepan detik paling sukar dalam hidupnya apabila bapanya disahkan nazak. Tidak lama kemudian, insan tersayang itu pergi menghadap Ilahi.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Masih Kekal Pegang Jawatan ‘Presiden Duda’, Sharnaaz Ahmad Belum Temui Jodoh Sesuai – ‘Yang Mendekati Ada’
Khabar duka

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, mengakui pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam hingga filem arahan Adrian Teh tersebut menjadi memori paling pahit sepanjang kerjayanya.
Jujurnya, saya berat hati untuk bercerita tentang filem ini kerana ia mengingatkan saya kepada pengalaman yang tidak mudah.
Pada waktu itu, ayah jatuh sakit tenat dan meninggal dunia sewaktu saya masih terikat dengan komitmen penggambaran.
Sharnaaz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Magik Rompak di GSC IOI City Mall, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Sharnaaz memberitahu, walaupun jasad berada di set, fikirannya sentiasa melayang memikirkan keadaan keluarga.
Ketika itu, tujuan saya hanya mahu selesaikan kerja secepat mungkin. Saya ulang-alik dari lokasi penggambaran ke rumah dengan hati yang berat. Fikiran saya langsung tidak berada di set.
Berkongsi lebih, Sharnaaz mengingati dua babak khusus yang dirakam pada saat getir tersebut. Pertama, adegan dirinya berdiri di atas sebuah kontena dirakam tepat ketika dia menerima khabar bapanya nazak.
Manakala babak imbas kembali atau ‘flasback’ dengan rambut panjang pula dijayakan dua hari selepas bapanya meninggal dunia.
Reaksi saya dalam babak itu bukan lakonan semata-mata. Ia keluar secara semula jadi, seolah-olah saya bergerak dalam keadaan ‘autopilot’. Emosi itu memang datang daripada kesedihan sebenar yang saya alami.
Di sebalik kepayahan itu, Sharnaaz tidak pernah lupa jasa Adrian Teh yang menunjukkan sikap luar biasa prihatin.
Sutradara tersebut menegaskan agar Sharnaaz segera pulang menemui keluarganya meskipun keputusan itu menyebabkan kerugian produksi dianggarkan lebih RM100,000.
Saya masih ingat kata-kata Adrian, dia cakap kalau dia tidak benarkan saya pulang, dia akan menyesal seumur hidup.
Benar, kerana saya hanya sempat bersama ayah buat seketika sebelum dia tidak sedarkan diri.
Pengorbanan Adrian itu membuka ruang terakhir saya bersama ayah, dan saya amat berterima kasih.
Filem Magik Rompak kini sudah menemui penonton di pawagam dengan menampilkan gandingan hebat Sharnaaz bersama Zul Ariffin, Amelia Henderson, Nadhir Nasar, selain Miller Khan, Fabian Loo, Yasmin Hani, Tay Ping Huy, Datin Elvina Mohamad dan ramai lagi.
The post Sharnaaz Ahmad Jalani Penggambaran ‘Magik Rompak’ Ketika Arwah Bapa Tenat – ‘Fikiran Tidak Di Set’ first appeared on OHBULAN!.