Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini memberitahu mereka enggan masuk campur urusan peribadi membabitkan artis kontroversi, Aliff Aziz biarpun aktor tersebut menjadi wajah ilham (muse) koleksi Aidilfitri pada tahun ini.
Tak masuk campur
Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan jenama fesyen berkenaan, Rizman Nordin, dia sebolehnya cuba mengelak kontroversi dengan menjalankan pekerjaan seperti biasa.
Kami dari dulu tak masuk campur urusan peribadi ‘muse’. Kami seboleh-boleh tak nak ada kontroversi. Kalau tengok adalah sikit komen di Instagram (IG) yang negatif.
Tapi kalau nampak saya padam dan sekat. Ini rumah saya, kalau orang datang mencemarkan saya akan buat begitu.
Kami tak terkesan sebab selebriti kami ramai, Kedua, koleksi kami sangat besar, jadi tidaklah tercalit sangat pada kami.
Dia (Aliff) bukan wajah utama untuk kempen Aidilfitri tahun ini.
Tambah Rizman, kerjasama dengan Aliff hanya untuk sesi fotografi sahaja, manakala, Bella Astillah mempunyai komitmen tambahan bersama jenama mereka.
Kerjasama dengan Aliff semasa sesi fotografi itu sahaja. Tapi, untuk Bella kita ada ‘meet and greet’ bersama pembeli. Kalau hendak ikutkan sebelum pemilihan artis kami sudah tapis untuk elak kontroversi.
Sebabnya, perkara itu akan beri kesan kepada imej sesebuah jenama. Kami memasarkan perniagaan jadi tak boleh ada isu-isu kontroversi.
Kami tak percaya ungkapan mengatakan kontroversi buruk adalah taktik pemasaran. Saya percaya semuanya kerana hasil kerja.