Bersempena menyambut ulang tahun TV3 ke-40, stesen televisyen terulung ini bakal menyiarkan sebuah program istimewa iaitu Tanyalah Ustaz: Akad 40 yang menyatukan 20 pasangan asnaf dari pelbagai latar belakang.
Tanyalah Ustaz: Akad 40
Kesemua pasangan itu telah selamat diijab kabulkan secara beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.
TV3 telah bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk merealisasikan program istimewa tersebut.
Majlis resepsi sederhana tetapi meriah itu disempurnakan dengan kehadiran jemputan khas iaitu Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd. Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dan Yang Berbahagia Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selaku jurunikah serta ahli keluarga mempelai.
Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan juga selaku Penerbit Eksekutif, Ruzmi Kamaruddin berkata, pihaknya gembira dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.
Tanyalah Ustaz: Akad 40 bersempena dengan ulang tahun TV3 tahun ini telah membuat perancangan dan persiapan dari awal tahun lagi. Bagi pihak TV3, kami amat berterima kasih kepada pihak penaja dan juga semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kami akan terus berusaha menyiarkan program dan acara yang bermanfaat kepada penonton dan masyarakat.
Dalam masa yang menggembirakan ini, saya turut bersimpati dengan isu yang terjadi di Palestin. Kita juga perlu bantu mengikut kemampuan kita sendiri. Pihak TV3 ada menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan.
Ruzmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tanyalah Ustaz: Akad 40 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Sabtu lalu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd. Na’im Hj. Mokhtar berkata program ini adalah salah satu usaha untuk menonjolkan nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat
Ini adalah kolaborasi yang amat baik antara Media Prima Berhad bersama JAWI dalam menzahirkan usaha pemerkasaan kekeluargaan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan menerusi penjagaan nasab keturunan yang disarankan oleh syarak menerusi lafaz ijab dan qabul sahnya ikatan perkahwinan suami isteri.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani.’
Tanyalah Ustaz merupakan program harian yang disiarkan pada setiap pagi di TV3 dan TV9 dengan membawakan segmen-segmen yang menjadi sumber rujukan utama masyarakat Islam di Malaysia dalam mencari pencerahan tentang pelbagai aspek kehidupan Islam.
Program ini terus mendapatkan sambutan hangat daripada penonton setia dengan ahli panel yang terdiri daripada asatizah yang dihormati. Tanyalah Ustaz sentiasa membawakan perbincangan inspirasi pagi terbaik kepada anda tentang isu semasa & ilmu berasaskan agama.Â
Jangan lupa janji temu anda! Pastikan anda berada di depan kaca televisyen bagi menonton acara pernikahan yang julung- julung kali diadakan ini di episod khas Tanyalah Ustaz: Akad 40 pada 8 Jun 2024 jam 7.00 malam di TV3 dan strim secara langsung di http://www.tonton.com.my. Anda juga boleh menyaksikan ulangsiar di stesen TV3 dan TV9 pada 22 Jun 2024, jam 6.50 pagi.