Pesta Menjala Sungai Dong 2025 bukan sekadar acara tangkap ikan biasa. Ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang bagi mengangkat semula peranan sungai sebagai nadi kehidupan masyarakat serta memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian sungai.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, program julung kali ini turut mengimbau nostalgia penduduk terhadap fungsi Sungai Dong suatu ketika dahulu.
“Dulu Sungai Dong jadi penghubung utama masyarakat kampung untuk berniaga, hantar hasil pertanian dan juga perikanan. Melalui pesta ini, kita nak hidupkan semula kenangan itu sambil sebarkan mesej tentang pentingnya sungai dalam kehidupan seharian,” jelas beliau.
Sungai Dong masih kaya dengan hidupan, tapi perlu dipelihara

Kempen ‘Mencintai Sungai Kita’ yang diketengahkan menerusi pesta ini juga secara tidak langsung mengajak masyarakat untuk menghargai semula sungai, bukan saja sebagai sumber air, tetapi juga ekosistem yang masih kaya dengan hidupan seperti ikan kelah, sebarau, lampam dan baung.

Sebagai langkah memulihara alam sekitar, sebanyak 50,000 ekor ikan daripada empat spesies telah dilepaskan ke Sungai Dong sempena pesta ini.
“Saya hargai usaha Jabatan Perikanan yang sumbangkan benih-benih ikan ini. Tapi pada masa sama, saya gesa semua pihak agar sama-sama pantau aktiviti di sungai. Elakkan perbuatan merosakkan seperti bom ikan atau renjatan elektrik,” tambah beliau.
Berpotensi jadi acara ahunan

Program sepanjang hampir 3 kilometer ini bermula dari Sungai Kerak, Kampung Kuala Gali hingga ke Jambatan Sungai Dong di Pekan Dong. Melihat kepada sambutan yang positif, acara ini berpotensi dijadikan program tahunan, walaupun lokasi mungkin akan berubah mengikut kesesuaian.
Usaha seperti ini bukan saja membangkitkan semangat komuniti, tapi juga menjadi satu langkah penting dalam memastikan sungai kita terus kekal bersih dan terpelihara untuk generasi akan datang.
The post Pesta Menjala Sungai Dong Angkat Nilai Sungai Sebagai Khazanah Alam, 50,000 Ikan Dilepaskan! first appeared on OHBULAN!.