Pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid menjadi sasaran dua individu tidak dikenali dalam kejadian samun yang berlaku di Kuala Terengganu pada malam Khamis.
Artikel berkaitan:Â [VIDEO] Akhyar Rashid Dipercayai Disamun, Cedera Di Bahagian Kepala Akibat Dipukul
Artikel berkaitan: Jaringkan Gol Kemenangan Buat JDT, Akhyar Terima Ucapan Tahniah Daripada Eyka Farhana – ‘Congrats B’
‘Target’ pukul bahagian kaki
Memetik laporan Harian Metro, sumber mengatakan, Akhyar atau lebih dikenali sebagai Mat Yat disamun dua lelaki yang menaiki kereta berwarna kelabu di depan sebuah kedai minuman.
Menurutnya, dua lelaki tersebut yang memakai ‘hoodie’ dan penutup muka bertindak memukul bahagian kaki dan betis sebelum menghentak kepala pemain itu.
Akhyar mendakwa dua lelaki berkenaan menggunakan senjata seperti cota besi.
Ketika kejadian, Akhyar yang cedera di kaki dan kepala sempat melarikan diri ke kedai minuman untuk meminta pertolongan.
Susulan kejadian berkenaan, Akhyar juga kehilangan dompetnya yang mempunyai beberapa dokumen penting.
Kakak mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu sebaik mengetahui kejadian terbabit dan keadaan Akhyar stabil selepas menerima rawatan susulan.
Terdahulu, tular video Akhyar berada di sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian tersebut berlaku.
Malah menerusi perkongsian pemain itu di Instagram, dia baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada 1 Mei lalu.
Sekadar info, Akhyar menyertai Terengganu FC (TFC) pada Februari lalu secara pinjaman dari juara Liga Super 10 kali berturut-turut iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dia yang beraksi di bahagian serangan menjadi sandaran skuad Penyu untuk bergandingan bersama seorang lagi pemain yang dipinjam dari Harimau Selatan, Safawi Rasid.