Penolong Pengarang Berita Hiburan (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, telah menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 2 petang tadi.
Artikel Berkaitan: Sheqal Meninggal Dunia – ‘Dia Menghembuskan Nafas Dalam Keadaan Tenang’
Sukar bernafas

Memetik laporan BH Online, Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar, 49, meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, selepas mengadu sakit dan sukar bernafas.
Jenazah arwah dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani proses bedah siasat dan selepas itu dijangka akan dibawa pulang untuk pengebumian di kampung halamannya di Kuala Terengganu, Terengganu.
Menurut pembantu rumahnya, Khusnul Khotimah, arwah sebelum ini pernah mengadu sakit-sakit badan selain sering meminta untuk sentiasa menemaninya.
Arwah sudah dua minggu dalam keadaan kurang sihat, cuma hari ini keadaannya nampak lebih teruk. Pagi tadi, dia ada cakap sakit badan dan minta saya urutkan.
Kemudian, pada jam 1 tengah hari tadi saya ada suapkan arwah air, tetapi arwah seolah-olah tidak dapat menelannya dan memuntahkan kembali. Selepas itu, keadaan kesihatannya semakin merosot.
Saya agak panik dan keluar rumah untuk mendapatkan bantuan. Saya maklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum ada jiran datang untuk membantu.
Jasa arwah

Sepanjang penglibatan selama lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan, arwah sangat dikagumi oleh pengamal industri kerana berpengalaman bertugas dalam unit berita antaranya jenayah dan hiburan di Harian Metro serta Berita Harian.
Antara berita eksklusif yang pernah dikendalikannya adalah penderitaan penyanyi veteran, Sahara Yaacob yang hidup menumpang di stor dan pelbagai pendedahan lain.
Untuk info, Allahyarham juga pernah dinobatkan sebagai Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) pada 2017. Anugerah itu dimenanginya menerusi artikel bertajuk Beginikah Perilaku Penggiat Seni dalam ruangan Desas Desus, akhbar BH.
The post Penolong Pengarang BH, Raja Nurfatimah Mawar Meninggal Dunia first appeared on OHBULAN!.