Kempen ‘Menang Selfie Menang Undi’ membuahkan hasil apabila penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin berjaya merangkul trofi bagi kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, pada malam Jumaat.
Kempen berhasil
Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mesra disapa sebagai KJ, mengucapkan rasa syukur di atas kemenangannya pada malam ini.
Nasib baik menang! Saya nak ucapkan terima kasih kepada Berita Harian, TV3 dan Hot FM. Ini kemenangan kami semua.
Terima kasih kepada semua yang sudah mengundi saya dan terima kasih juga buat keluarga.
Di dalam hidup ini kalau pintu rezeki ditutup, Allah akan buka pintu rezeki yang lain. Percaya pada perancangan Allah, Alhamdulillah.
Do what you can, Allah will do what you can’t.
Terdahulu, Hot FM telah melaksanakan kempen bagi meraih undi untuk kemenangan KJ. Ianya terbukti membuahkan hasil apabila bekas ahli politik itu berjaya mendapat tempat di anugerah berprestij tersebut.
Dalam masa yang sama, Hot FM turut mendapatkan kerjasama vokalis kumpulan Butterfingers iaitu Emmet untuk menyanyikan lagu kempen tersebut yang berjudul Menang Selfie Menang Undi.
Pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kesihatan, KJ sebelum ini berjaya membolosi ke Top 5 bagi kategori tersebut serta bersaing bersama DJ Sonic, Haiza, Sharifah Shahirah dan Tyzo.
Untuk info, KJ mula bertugas sebagai penyampai bagi segment Bekpes Hot bersama-sama Johan, Farah Fauzana dan AG pada 15 Februari tahun lalu.
Bertemakan Teguh, ABPBH 36 yang diinspirasikan oleh penaja utama, CONBOO telah disiarkan secara langsung di TV3 dan distrim melalui Tonton dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada Jumaat.Â