Pelakon Ruhainies menegaskan dia dan penyanyi dan aktor, Aliff Aziz hanya sekadar kawan biasa dan sedang bekerjasama dalam drama bersiri, Terjerat.
Taknak Bella & Aliff cerai
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Ruhainies mengakui menyayangi persahabatan dirinya dengan Bella dan berharap agar pasangan suami isteri itu tidak akan bercerai.
Selain itu, Ruhainies, 32, bersedia untuk berbincang dengan Bella secara profesional sekiranya aktres tersebut sudah bersedia.
Saya hanya ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi.
Sebaliknya, Aliff merupakan rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik-beradik saya sejak 10 tahun yang lepas.
Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah.
Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia.
Tak paksa untuk orang lain percaya
Tambah pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, dia memohon maaf kerana membiarkan kontroversi ini berlarutan lama tanpa kenyataan yang jelas sehinggakan beberapa pihak memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar.
Dalam pada itu, adik kepada Risteena Munim berharap agar kenyataan ini tidak dijadikan bahan provokasi kerana dia langsung tidak mempunyai niat ke arah itu.
Sebaliknya, Ruhainies bersedia untuk menjernihkan keadaan yang tegang antara mereka bertiga.
Pada awal pagi Sabtu, media melaporkan pasangan selebriti telah ditangkap bersekedudukan di sebuah kondominium mewah yang terletak di ibu kota.
Adik kepada Bella iaitu Didi Astillah mengesahkan individu yang dicekup oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu adalah abang iparnya, Aliff.
Aliff dan Ruhanies dilaporan sudah dibebaskan dengan jaminan sementara kira-kira jam 2 petang di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain (masa terdekat).
Kemudian, pada Isnin, Bella telah menfailkan penceraian terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebutan kali pertama telah berlangsung pada Rabu. Namun, kelibat Aliff tidak kelihatan dan alasan diberikan kerana sedang menjalani penggambaran drama siri Terjerat.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.