Umum mengetahui, penyanyi Stacy Anam telah menarik diri daripada menyertai konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku.
Berikutan daripada itu, pijak Orange International Entertainment selaku penganjur telah tampil memberikan respons mereka mengenai hal tersebut.
Memang khilaf kami
Menurut Pengarah Orange International Entertainment, Datuk Mohd Fazli Idrus, pihaknya mengakui kesilapan berhubung isu poster konsert tersebut sehingga Stacy menarik diri.
Memang kekhilafan itu dari kami. Kami tiada niat untuk membanding atau memperkecil mana-mana pihak khususnya artis yang terbabit dalam konsert itu. Semua mereka ada kelebihan dan pencapaian hebat.
Sebelum ini, kami pun pernah anjurkan konsert dan buat konsep serupa pada poster dan tidak berlaku isu apa-apa. Jadi, kami ambil pengajaran untuk lebih cakna selepas ini agar tidak mengguris hati sesiapa pun.
Tambah Fazli, kesilapan teknikal tersebut berlaku kerana kesuntukan masa dan Stacy cuma bersetuju mahu terlibat sama dua hari sebelum sidang media pengumuman konsert berkenaan.
Sebenarnya konsep poster asal memang kami letakkan Stacy sebagai bintang utama. Bagaimanapun, bahagian kreatif kami memasukkan gambarnya di belakang pada saat-saat akhir selepas dia memberikan persetujuan.
Bahagian kreatif kami pula memang tidak tahu menahu mengenai pencapaian dan tahap artis-artis yang terbabit itu. Disebabkan lagi sehari adakan sidang media, poster itu kena guna juga untuk tujuan cetakan promosi.
Tapi sebenarnya kami boleh saja buat perubahan lanjut terhadap poster itu dan menurut kehendak artis yang terbabit. Tiada masalah untuk kami.
Jangan salahkan Bella
Berbicara lebih lanjut, Fazli juga berharap Bella Astillah tidak dipersalahkan dalam hal tersebut kerana keputusan terbabit sepenuhnya adalah tanggungjawab penganjur.
Bella langsung tidak masuk campur dalam soal itu. Dia sendiri pun sangat sibuk dengan agenda seninya dan apa yang kami putuskan, dia ikut saja. Tiada langsung unsur mempengaruhi kami untuk kedepankan dia.
Kami tidak mahulah pasal isu itu akan melarat dan kucar-kacirkan hubungan sesama mereka. Industri ini kecil, nanti akan berjumpa juga di mana-mana.