Pelakon, Linda Hashim menolak dakwaan kononnya dia terlalu tergesa-gesa mahu mempercepatkan proses perceraian dengan suaminya, Beego hanya kerana tidak sabar bergelar ibu tunggal.
Artikel Berkaitan: Beego Kesal Dengan Kenyataan Linda Hashim – ‘Kalau Isteri, Mana Boleh Keluar Rumah 9 Bulan Tanpa Izin’
’Buat apa simpan saya?’

Linda atau nama penuhnya Norhazlinda Hashim, berkata, keputusan untuk berpisah dibuat kerana tuntutannya sebagai isteri tidak dipenuhi, selain mahu mendapatkan kepastian status rumah tangga mereka mengikut prosedur mahkamah.
Saya tak pernah tergesa-gesa. Semua ini hanya untuk sahkan status rumah tangga sebab ada lafaz taklik yang sudah dilanggar.
Dari awal saya ikut saja tarikh dan arahan mahkamah. Kalau betul saya nak cepat, banyak cara boleh buat, tapi saya ikut proses ikut peguam dan hakim.
Nafkah saya tak diberi. Kalau tanggungjawab pun tak ditunaikan, untuk apa nak simpan saya lagi?
Linda ditemui selepas selesai proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Bagaimanapun, Beego tidak hadir pada prosiding laporan JKP tersebut kerana dikatakan kurang sihat.
Dalam pada itu, Linda turut berkongsi kehidupannya kini lebih tenang bersama tiga anak hasil perkongsian hidup dengan Beego.
Jelas aktres itu, anak-anak juga sudah terbiasa berdikari tanpa banyak bergantung kepada bapa mereka.
Alhamdulillah, saya dan anak-anak memang dah terbiasa bersama. Mereka pun jarang rapat dengan bapa, jadi tak pernah tanya nak jumpa.
Dia tetap boleh jadi bapa yang baik, saya pun akan jadi ibu terbaik untuk anak-anak. Saya tiada masalah kalau dia nak jumpa mereka.
Pada 23 April lalu, Linda dan Beego selesai melakukan proses JKP berhubung kes perceraian mereka.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan JKP sebelum ditunda ke hari ini.
Sebelumnya, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Hal itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.
Dedah Linda, mereka pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk pada April 2023.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
The post ‘Kalau Tanggungjawab Tak Ditunaikan, Untuk Apa Nak Simpan Saya Lagi?’ – Linda Hashim first appeared on OHBULAN!.