Dengan kandungan yang merentasi ketiga-tiga bahasa utama seperti Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, Media Prima Audio (MPA) terus mencipta kejayaan apabila berjaya mencatat jumlah pendengar mingguan sebanyak 5.9 juta pendengar di seluruh Malaysia.
Menerusi kajian terkini oleh Nielsen Consumer & Media View (CMV) bagi tempoh Januari hingga Disember 2024 menunjukkan bahawa stesen radio di bawah MPA bukan sahaja kekal relevan, malah kini mendahului industri penyiaran radio.
Hot FM kekal nombor satu
Hot FM kekal sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia dengan 3.9 juta pendengar mingguan, menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1% berbanding kajian sebelum ini.
Segmen pagi ‘Bekpes Hot’ yang dikendali AG, Fara Fauzana, Johan dan KJ mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 12.3%, kini mencapai lebih 2.4 juta pendengar.
Dari segi digital, Hot FM telah meraih lebih 1.3 bilion tontonan video, menandakan kehadiran jenama ini bukan hanya di radio tetapi juga dalam dunia digital.
Salah satu momen yang paling menyentuh hati ialah ketika Fara Fauzana menangis semasa mendaki Gunung Kinabalu dalam kempen bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu, ia merupakan detik yang penuh emosi dan memberi inspirasi pada rakyat Malaysia.
Pendengar mingguan Fly FM & Kool 101 meningkat
Fly FM pula terus kekal dengan prinsip “More Music, Less Talk”, bagi memenuhi kehendak peminat muzik dengan memainkan 27% lebih banyak muzik berbanding mana-mana stesen berbahasa Inggeris lain di Malaysia.
Dengan jumlah pendengar mingguan seramai 2.2 juta, Fly FM menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk hiburan muzik tanpa henti, “vibes” yang positif dan suasana mesra yang menemani harian mereka.
Sementara itu, Kool 101 pula benar-benar menjiwai kehidupan harian rakyat Malaysia, sekaligus menyaksikan peningkatan pendengar sebanyak 22.8% kepada hampir 480,000 pendengar mingguan.
Dalam masa yang sama, Kool 101 juga berjaya mencatatkan sebanyak 357 juta tontonan video dan 17 juta interaksi di media sosial.
Ini membuktikan yang kandungannya dekat dengan jiwa rakyat, dari cerita kekeluargaan, komuniti, hingga perbualan tentang isu seharian yang membentuk identiti bersama.
Molek FM nombor satu Pantai Timur
Molek FM kini secara rasmi merupakan stesen nombor satu di Pantai Timur bagi golongan berumur 15 hingga 59 tahun, hasil peningkatan jumlah pendengar sebanyak 43.4%, menjadikan jumlah terkini seramai 710,000 pendengar mingguan.
Molek FM terus mengekalkan keaslian menerusi penyampaian kisah tempatan yang menyentuh hati, dengan gaya yang santai dan mesra menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian komuniti Pantai Timur, seolah-olah berada di rumah sendiri.
Eight FM terus positif
Eight FM, yang mensasarkan komuniti penutur Cina moden di Malaysia, terus menunjukkan pertumbuhan positif dengan hampir 360,000 pendengar, 108 jutantontonan video dan 16 juta interaksi di platform media sosialnya.
Dengan kandungan yang segar, ‘humor yang pintar serta pendekatan yang moden dan relevan, Eight FM semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai suara penting dalam landskap media berbahasa Cina di negara ini.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran beranggapan statistik ini juga menunjukkan bahawa tidak kira stesen mana yang menjadi pilihan pendengar, matlamat MPA adalah jelas, untuk menghasilkan kandungan yang segar, terus kepada peminat dan membina hubungan yang dekat dengan audiens, sama ada di radio mahupun secara digital.
Keputusan ini membuktikan sejauh mana audiens mempercayai kami untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Kami bukan sekadar mengisi ruang siaran, kami mencipta detik-detik yang bermakna.
Dan kami mempunyai pasukan yang memberikan sepenuh jiwa dan raga, setiap hari.
Akhir kata, jutaan terima kasih buat para pendengar kerana telah membantu MPA menguasai dan mengemudi industri radio tanah air.