Penyanyi, Haiza Hanafi meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila impian untuk mengadakan persembahan di lokasi ikonik, Bukit Bintang akhirnya menjadi kenyataan.
Artikel Berkaitan: Haiza Hanafi Pegang Nasihat Rohana Jalil, Jangan Potong Usus Untuk Cepat Kurus
Satu Bukit Bintang berdangdut

Haiza atau nama sebenar Rohaizah Nordin, 45, berkata, pengalaman itu amat bermakna buat dirinya yang sudah hampir tiga dekad bergelar anak seni.
Mengadakan persembahan di Bukit Bintang merupakan salah satu impian saya. Saya anggap acara sebegini sebagai hiburan rakyat yang mana sesiapa sahaja boleh datang dan tonton persembahan saya secara percuma.
Sepanjang jadi penyanyi, ini merupakan pertama kali saya membuat persembahan di Bukit Bintang. Untuk jayakan acara ini, kami melalui proses yang betul termasuk minta izin daripada pihak berkuasa.
Haiza berkata demikian usai menghiburkan ratusan peminat di acara Busking Bersama Haiza di Bukit Bintang, pada Sabtu.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan termasuk Dag Dig Dug 3.0, Seperti Mati Lampu, Bintang Kehidupan dan beberapa lagi yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Mengulas mengenai sambutan luar biasa yang diterima, Haiza tidak menafikan dirinya begitu terkejut dengan semangat dan keterujaan penonton yang hadir.
Rasa macam artis antarabangsa pun ya juga, ramai sangat penonton. Ada yang dari Indonesia, Arab, Brunei dan banyak lagi. Mungkin juga mereka sedang bercuti di Malaysia dan alang-alang berhibur sekali.
Energi penonton memang luar biasa, mereka tidak berhenti ikut menyanyi dan menari. Semangat mereka juga buat saya tak rasa penat, memang enjoy.
Acara Busking Bersama Haiza di Bukit Bintang turut mendapat sokongan daripada stesen radio Kool 101.
The post Haiza Seronok Hiburkan Satu Bukit Bintang, Terharu Peminat Ikut ‘Sing Along’ & Berdangdut first appeared on OHBULAN!.