Pengarah Ejen Ali The Movie 2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, meletakkan harapan agar penonton dapat mengangkat filem animasi 3D tempatan ke peringkat yang lebih berprestij.
Idea awal EATM2
Ketika ditemui Ohbulan!, Usamah memaklumkan bahawa perancangan untuk Ejen Ali The Movie 2 ( EATM2) sudah bermula sebaik saja tamat tayangan filem edisi pertama.
Namun, pandemik ketika itu menghalang proses pembikinan EATM2 dengan keadaan pawagam yang ditutup.
Saya sudah keluarkan teaser dan draf awal sekuel sekitar 2020. Tapi bila pandemik melanda dan pawagam ditutup, kami terpaksa tukar perancangan dan hasilkan siri Ejen Ali Musim 3 terlebih dahulu bersama Disney+ Hotstar.
Skrip asal filem kedua sepatutnya teruskan naratif daripada filem pertama, tapi kami tukar. Siri musim ketiga ini menjadi jambatan sebelum munculnya filem kedua.
Usamah berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala dan Tayangan Perdana Ejen Ali The Movie 2 di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Sasar RM60 juta
Ditanya mengenai keyakinan, Usamah hanya mengharapakan sokongan daripada penonton agar dapat mengangkat filem aksi animasi tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya bukanlah orang yang terlalu yakin.
Tapi saya tetap berharap penonton akan menyukai naskhah ini dan membantu mengangkat filem ini lebih jauh.
Filem pertama kita raih kutipan RM30 juta. Jadi, mungkin untuk Ejen Ali The Movie 2 kita letakkan sasaran RM60 juta.
Saksikan pengembaraan epik Ejen Ali The Movie 2 yang akan ditayangkan di pawagam mulai 22 Mei ini.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif, dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios.Film.