Meskipun reda dengan perceraian yang berlaku, pelakon, Edika Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk rujuk kembali dengan bekas isteri, Nor Hidayah Yusri dalam tempoh iddah.
Serah pada tuhan
Menyerahkan segalanya kepada takdir Ilahi, Edika, 58, berkata, dia akan terus menjaga hubungan baik dengan Hidayah demi anak-anak selain menganggap tidak salah untuk berkawan.
Siapa suka dengan perceraian, tapi sudah dua kali isteri saya failkan, jadi saya nampak sangat kesungguhan dia mahu berpisah dan mahkamah juga membenarkan kami berpisah dengan talak satu.
Mana tahu kalau ada usaha dan takdir mungkin kami boleh rujuk balik. Saya tidak pernah ‘give up’ untuk menyelamatkan rumah tangga saya.
Kalau ini boleh buat dia gembira, kita boleh terus menjadi kawan demi anak-anak dan demi agama kita, Islam.
Saya selalu whatsapp dia bertanya khabar tapi caranya seolah dia menjauhkan diri, jadi dia yang mengelak.
Jadi saya cuba sebagai seorang sahabat sebab sebagai seorang wanita yang sudah tiada kasih sayang lagi terhadap saya buat apa saya nak buang masa.
Edika berkata demikian sejurus sah bercerai talak satu dengan isteri di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Tak berniat nak cerai
Dalam pada itu, Edika berkata, dia tidak pernah berniat mahu bercerai, sebaliknya ungkapan yang dibuat selama ini mungkin disalah tafsir oleh Hidayah.
Dia katakan tadi dia memohon cerai disebabkan hukum, tapi kebanyakan orang tidak tahu macam mana talak itu jatuh.
Talak itu tak jatuh disebabkan kemarahan ataupun dalam keadaan makan ubat atau tidak sedar diri, jadi talak pun ada SOP, mahkamah ada aktanya.
Saya hanya nak mendidik isteri dengan bertanya apa yang awak mahukan sebenarnya, awak mahu saya lepaskan awak atau ceraikan awak dan perkataan itu disalah tafsir, dia menganggap perkataan sebegitu adalah talak.
Saya tanya pada mahkamah, perkataan talak kena dilafazkan dalam keadaan waras dengan sebutan yang betul seperti yang saya sebut di mahkamah sebentar tadi.
Jadi bila tak cukup ilmu pengetahuan, bila bertengkar dialog sebegitu akan keluar dalam keadaan marah tapi jujurnya saya tidak berniat untuk bercerai.
Pada Isnin, Edika telah melafazkan cerai talak satu terhadap isteri, Nor Hidayah Yusri di hadapan Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh pada pukul 10.42 pagi.
Pada 23 April lalu, Hidayah menyenaraikan 10 alasan yang menyebabkan dia membuat permohonan cerai terhadap Edika di hadapan hakim.
Kesemua sebab tersebut disifatkan perkara kritikal sehingga membuatkan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.
Untuk info, Hidayah memfailkan cerai terhdap Edika pada pertengahan Februari lalu.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.