Bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, sebuah drama pendek yang mengetengahkan mesej perpaduan antara kaum menerusi gabungan komedi seram, cinta tiga segi dan nilai persahabatan berjudul Siapa Mati Dulu? telah ditayangkan.
Artikel Berkaitan: Raja Azrey Beri Peluang Bakat Baharu Tunjuk Skil Lakonan Dalam Telefilem ‘Toyol Kuala Muda’
Siapa Mati Dulu?

Drama berdurasi 20 minit ini merupakan inisiatif jenama penjagaan diri tempatan, Follow Me Malaysia yang buat julung kalinya tampil sebagai penerbit kandungan hiburan berkonsep patriotik.
Diarahkan oleh pengarah kreatif berpengalaman, Raja Azrey, karya ini menyorot kisah tiga sahabat sejak tahun 1998 iaitu Amalina (Didi Astillah), Rajoo (Thiyagu B) dan Tom (Chi Howe).
Mereka kembali ‘bertemu’ pada tahun 2025, namun sebagai roh. Amalina kini menjadi pontianak, Rajoo sebagai hantu India, manakala Tom pula menjelma sebagai hantu Cina.
Menurut Raja Azrey, gabungan budaya serta unsur supernatural memberi tarikan tersendiri kepada naskhah ini.
Meskipun watak utama digambarkan sebagai roh, tetapi nilai kasih sayang dan semangat muhibah tetap hidup dalam penceritaan.
Ini adalah usaha kecil kami dalam menyemarakkan semangat perpaduan di Malaysia. Kami mahu mesej ini terus sampai kepada generasi muda dan jadi panduan untuk masa depan yang harmoni.
Cerita bermula di sebuah warung kecil pada 1998, tempat pertemuan mereka yang turut mencetuskan bibit cinta dan konflik.
Rajoo kemudian jatuh hati pada nasi lemak Amalina, sementara Tom terpikat dengan lemang buatan ayah Amalina. Namun, bagi Amalina, kedua-dua jejaka itu hanya sahabat.
Satu tragedi misteri mengubah hidup mereka, dan selepas 27 tahun, persoalan tentang siapa yang meninggal dahulu akhirnya terjawab.
Mesej perpaduan

Siapa Mati Dulu? bukan sekadar kisah seram komedi, tetapi menyampaikan mesej tentang nilai persahabatan, hormat-menghormati dan perpaduan walaupun dalam bentuk yang santai dan menghiburkan.
Turut membintangi drama ini ialah Azlan Anwar, Evie Razwan dan Zuan Mohamad yang memainkan watak sampingan penting dalam menguatkan naratif dengan elemen emosi dan humor yang segar.
Siapa Mati Dulu? boleh ditonton secara rasmi di YouTube dan TikTok Follow Me Malaysia bermula 8 Ogos 2025, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Follow Me merupakan jenama tempatan yang sudah 38 tahun bertapak di Malaysia, teruskan menyokong produk dan kandungan tempatan.
The post Drama Pendek Merdeka ‘Siapa Mati Dulu?’ Angkat Tema Perpaduan Dalam Gaya Komedi Seram first appeared on OHBULAN!.