Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai meluahkan rasa syukur selepas permohonan maafnya diterima baik kumpulan rap, 4U2C.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] AC Mizal Berterima Kasih Pada Ajai, Hubungan Dalam Keadaan Baik – ‘Kami Tak Terasa & Tiada Sakit Hati’
Kawan tetap kawan

Ketika ditemui , Ajai atau nama lengkapnya Mohamad Faizal Maas berkata, dia juga bersyukur kerana hubungan persahabatannya dengan ketua kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal tidak terjejas dan berada dalam keadaan baik.
Alhamdulillah, permohonan maaf saya diterima dan saya rasa bersyukur sangat.
Kami sudah lama kenal, malah seangkatan. Cuma Exist masuk industri muzik lebih awal daripada 4U2C.
Kami kongsi banyak momen bersama, pernah beberapa kali disatukan dalam sesi fotografi dan membuat persembahan dalam konsert yang sama.
Jadi, kawan tetap kawan, walaupun adakalanya berbeza pendapat.
Ajai berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas konsert ‘Raise The Star Malaysia’ yang diadakan di Royal Theatre, Shah Alam pada Ahad.
Terkesan tengok AC menangis

Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Aduh’ berkata, dia juga terkesan melihat AC Mizal menitiskan air mata sewaktu melakukan sidang media tergempar menjelaskan kontroversi itu pada awal Julai lalu.
Sudah tentu saya terkesan melihat dia menangis sebab kita sudah kenal lama.
Saya tidak berfikir panjang untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana saya tiada hasad dengki ataupun ‘vibe’ negatif dalam percakapan saya sebelum itu.
Mungkin ada yang terasa, disebabkan itu lebih baik saya minta maaf. Tiada masalah untuk saya minta maaf sebab tiada dendam.
Saya tak pernah anggap diri saya lebih hebat dengan memohon maaf. Apa yang saya fikir, mungkin kawan saya sudah terasa hati.
Saya tak mahu disebabkan pendapat saya menjadikan hubungan kami sesama artis tidak ‘sedap’.
Sebelum ini, Datuk AC Mizal menerusi satu sidang media, meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Ajai yang mendakwa konsert 4U2C tidak boleh dianjurkan tanpa kebenaran pemilik lagu.
Susulan itu, AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 54, melalui peguamnya menuntut empat individu termasuk Ajai untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam sebelum tindakan undang-undang diambil.
Ajai kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran di Instagram dan permohonan maaf itu diterima baik kesemua ahli kumpulan 4U2C.
Sekadar info, kontroversi bermula apabila penerbit Man Senoi dan isteri, Mama Rap, mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert WE 4U2C Live In Concert, sedangkan mereka memegang hak cipta lagu-lagu kumpulan tersebut.
The post Ajai Syukur Permohonan Maaf Diterima, Terkesan Lihat Tangisan AC Mizal – ‘Kawan Tetap Kawan’ first appeared on OHBULAN!.